Wednesday, June 12, 2019

Peranan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)

Peranan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam mengembangkan disiplin terjemahan.

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (276206D) atau singkatannya, ITBM, yang dahulunya dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 14 September 1993 untuk menyediakan prasarana bagi mewujudkan industri terjemahan di Malaysia, seiring dengan haluan negara dalam menuju Wawasan 2020.
            ITBM merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan modal asas dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala pentadbirannya diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selaras dengan Akta Syarikat 1965, objektif, bidang kuasa, ahli lembaga pengarah dan urusan berkaitan fungsi ITBM tertakluk kepada Memorandum dan Tataurusan Persatuan ITBM yang diluluskan oleh Pendaftar Syarikat.
            Selain itu, ITBM ditubuhkan bagi mengangkat bidang terjemahan dalam negara, mengendali hal ehwal berkaitan terjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan ilmu pada semua peringkat sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Ianya juga turut bertanggungjawab memperkasa dan memperbanyak penerbitan karya asli penulis tempatan bagi merancakkan industri perbukuan negara selaras dengan perluasan mandatnya yang diumumkan oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 16 Disember 2011.
            Di samping itu, ITBM juga berperanan dalam mengembangkan disiplin ilmu dengan memperkasa khidmat terjemahan dalam pelbagai bahasa, memperbanyak terjemahan dan penerbitan bahan pengetahuan berkualiti dalam Bahasa Melayu serta memperbanyak usaha penterjemahan dan penerbitan karya penting kebangsaan ke bahasa asing.
            Seterusnya, ianya juga berperanan untuk menyediakan platform kepada penulis tempatan bagi menghasilkan karya asli dalam pelbagai genre, memantapkan perkhidmatan kejurubahasaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta memperluas promosi dan pemasaran khidmat serta produk ITBM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Akhir sekali, ITBM juga berperanan memantapkan keupayaan penterjemah, editor serta jurubahasa sambilan dan pengurusannya, meningkat dan mengoptimumkan penggunaan prasarana untuk menunjangi kelestarian bidang terjemahan dan penerbitan buku dan secara tidak langsung mampu melahirkan modal insan yang cemerlang dan berkemahiran tinggi melalui kursus dan latihan berkaitan terjemahan, penulisan dan penyuntingan.
           

No comments:

Post a Comment

BICARA MINDA

ALAT BANTU TERJEMAH

selamat malam n Assalamualaikum dan salam sejahtera.... welcome back to all my readers... Terima kasih kerana masih setia membaca blog saya ...

BICARA MINDA