Wednesday, June 12, 2019

Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)


NAMA : AHMAD RAZIN BIN ISHAK
NO. MATRIK : A168120



Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya ialah Balai Pustaka telah ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru,Johor sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Penubuhannya adalah bertujuan untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu.
Terdapat lima jabatan dan bahagian yang telah ditubuhkan, dan setiap satu daripada jabatan dan bahagian tersebut mempunyai fungsi serta peranannya tersendiri. Antaranya termasuklah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Jabatan Penerbitan dan Jabatan Khidmat Pengurusan.
Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mempunyai beberapa pejabat cawangan di beberapa wilayah seperti DBP cawangan Sabah dan Sarawak yang telah diwujudkan di negeri itu sendiri. Di semenanjung Malaysia pula telah ditubuhkan  DBP wilayah timur di negeri Kelantan, DBP wilayah utara di negeri Pulau Pinang, DBP wilayah selatan di negeri Johor dan DBP wilayah tengah di Kuala Lumpur manakala Ibu Pejabat bagi DBP terletak di Kuala Lumpur.
            Sesebuah pertubuhan, organisasi atau badan sudah tentu mempunyai objektif, matlamat, falsafah, misi serta visi yang berkaitan dengan penubuhannya. Demikian juga, dengan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, ia juga mempunyai objektif atau matlamat yang telah dirangka serta tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan perluasan 1995) adalah seperti berikut :
1) Untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang sains dan    teknologi
2) Untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan
3) Untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah, dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain.
4) Untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan
5) Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan
6) Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan suapaya ia digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Selain itu, DBP bersumberkan Perlembagaan Persekutuan dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan 1995) sebagai sumber kuasa manakala “Bahasa Melayu Salah Satu Bahasa Utama Dunia” merupakan visi bagi DBP dan “Meningkatkan Penggunaan Bahasa Melayu” sebagai misi yang ingin dicapai oleh  DBP. Di samping itu, wawasan DBP ialah “Menjadi Peneraju Utama Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Pembinaan Negara Bangsa”. Akhir sekali, “Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan falsafah yang diguna pakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

No comments:

Post a Comment

BICARA MINDA

ALAT BANTU TERJEMAH

selamat malam n Assalamualaikum dan salam sejahtera.... welcome back to all my readers... Terima kasih kerana masih setia membaca blog saya ...

BICARA MINDA